Hishammuddin Tun Hussien dan Khairy Jamaluddin dalam Dialog TN50: Masa Depan Pertahanan Negara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 di Langkawi, Kedah, semalam. |
LANGKAWI: Malaysia, Indonesia dan Filipina akan menandatangani satu perjanjian bagi melaksanakan misi bersama dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina akan berada di Sabah dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.
“Majlis itu melibatkan perjanjian tiga negara berkenaan dalam melihat keselamatan Laut Sulu yang merupakan inisiatif yang bukan sahaja kita impikan, tetapi kepada tahap operasi seperti rondaan laut bersama dan pemantauan dari udara.
“Pihak kepemimpinan tertinggi negara telah memberi kita mandat untuk memikirkan usaha baharu dalam mempertingkatkan keselamatan Laut Sulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam majlis Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50): Masa Depan Pertahanan Negara di Resort World Langkawi di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Brigedier Jeneral Khairy Jamaluddin merangkap Komander Rejimen 508 Askar Wataniah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Afendi Raja Mohd, Noor.
Dialog tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) yang berakhir hari ini selepas dibuka kepada pelawat perdagangan dan awam sejak Selasa lalu.
Sebanyak 600 pelajar yang menyertai pasukan seragam di institusi pengajian tinggi seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam termasuk pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengambil bahagian dalam dialog tersebut.
Hishammuddin berkata, inisiatif keselamatan di Laut Sulu bukan sahaja bertujuan mahu mengekang kes penculikan oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan tersebut tetapi yang lebih penting, bagi menyekat kumpulan militan Daesh di rantau ini.
Beliau berkata, gabungan pasukan keselamatan tiga negara itu dalam inisiatif Laut Sulu mampu mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan berkenaan.
“Ini penting kerana pengganas Abu Sayyaf telah berbaiah dengan militan Daesh dalam mengembangkan pengaruh mereka,” ujarnya.
Keadaan itu katanya, boleh mengancam keselamatan negara-negara di rantau ini dan bagi Malaysia, Sabah adalah negeri yang paling hampir dengan ancaman daripada pengganas Abu Sayyaf.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 25 Mac 2017 | Terbitan 26 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan