Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Mac 2017

Dua projek Kerajaan Pusat di Kelantan siap tahun ini

Makhtar Mustapha (dua dari kiri) menyampaikan anugerah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan, Machang, Kelantan, semalam.
MACHANG: Dua projek besar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di negeri ini bakal siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, projek itu adalah Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi fasa pertama serta projek jalan pintasan Pasir Mas.

“Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi fasa pertama sedang dilaksanakan apabila Pakej 1B melibatkan laluan Pasir Hor-Kadok sepanjang 10.5 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

“Manakala projek bypass jalan Pasir Mas yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dijangka siap pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Makhtar berkata, rakyat negeri ini seharusnya berterima kasih de­ngan segala pembangunan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Pusat sehingga kini.

“Kelantan tidak pernah ke­tinggalan dalam aspek pemba­ngunan kerana pelbagai projek telah dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, negeri ini tidak pernah dianaktirikan, malah lebih banyak projek pembangunan yang akan menyusul selepas ini sekali gus meningkatkan ekonomi rakyatnya.

Antara projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini ialah projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tanah Merah dan Ketereh.

“Begitu juga dengan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang merentasi Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Mac 2017 | Terbitan 22 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan