Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 14 Mac 2017

Sindiket 'Macau Scam' menyamar pegawai polis IPK Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank dikesan cuba memperdaya orang ramai menggunakan modus operandi mirip 'Macau Scam' di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang ACP Abdul Ghani Ahmad berkata polis menerima puluhan panggilan telefon daripada orang ramai sejak minggu lepas untuk membuat pengesahan sama ada terdapat pegawai polis yang menjalankan siasatan berhubung akaun bank mereka.

"Mereka mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa pegawai polis dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang dan memberitahu nama serta nombor telefon mereka telah diguna untuk membuka akaun di beberapa bank di Malaysia.

"Mangsa juga menerima panggilan telefon daripada beberapa bank memaklumkan ada akaun bank atas nama dan nombor kad pengenalan mereka dibuka dan beberapa transaksi pindahan wang telah dilakukan menerusi akaun itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemanggil turut mendakwa akaun mangsa disyaki terlibat dalam kes jenayah, dadah dan pengubahan wang haram sedangkan mereka tiada akaun di bank yang dinyatakan.

Abdul Ghani berkata suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang yang terdapat dalam akaun mereka ke akaun lain bagi memastikan duit itu tidak dibekukan.

Beliau berkata setakat ini tiada mangsa yang mengalami kerugian dan orang ramai yang pernah menerima panggilan telefon seperti itu diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga diminta tidak mengikut arahan individu yang meminta mereka membuat pindahan wang ke akaun lain secara dalam talian, katanya.

Sumber: Bernama | 14 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan