KOTA BHARU: Food Aid Foundation (FAF) hari ini meneruskan misi bantuan kemasyarakatannya dengan menyumbangkan makanan asas kepada 210 keluarga yang terjejas banjir di beberapa jajahan di Kelantan.
Pengarah Operasinya, Hayati Ismail berkata bantuan tersebut adalah bantuan susulan selepas sumbangan sama disampaikan kepada lebih 600 keluarga pada Januari dan Februari lepas.
"Dua bulan lepas FAF telah mengagihkan bantuan barangan makanan termasuk beras, gula, milo, susu dan biskut bernilai RM60,000 kepada mangsa banjir di Tumpat, Pasir Mas dan Kuala Krai.
"Hari ini FAF bukan hanya mengagihkan barangan tersebut tetapi turut bergotong-royong memasak sup tulang untuk diagihkan kepada 200 keluarga miskin di sekitar Pasir Mas serta Pulau Kundur, Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di Kota Bharu," katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Misi Bantuan Banjir Pantai Timur di sini.
Katanya, lebih 50 sukarelawan termasuk Komuniti Perwani 1Malaysia, Briged Bakti Malaysia Cawangan Kelantan, Pasir Mas Caster Wokah Hijah dan Excel Printing akan mengagihkan bantuan makanan asas dan sup tulang yang dimasak secara bergotong-royong itu tengah hari ini.
Beliau berkata FAF akan terus bergiat aktif dalam misi bantuan kemanusiaan dan kemasyarakatan dengan menyelamatkan dan mengumpulkan makanan yang masih selamat untuk dimakan dari rantaian bekalan pengilang, pengusaha makanan, hotel, pasar raya, pengimport makanan dan pengusaha restoran.
Katanya, makanan yang dikumpulkan itu akan melalui proses penilaian oleh pegawai pemakanan bertauliah bagi memastikan ia selamat dimakan sebelum diserahkan kepada mereka yang memerlukan.
"Bagi menjayakan program kemanusiaan ini, FAF telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk tajaan dari Malaysia Building Society Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad dan Tesco Malaysia," katanya.
Hayati berkata FAF juga sentiasa komited meneroka kerjasama baharu dengan pelbagai pihak lain bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada pihak yang memerlukan.
Katanya FAF yang telah tiga tahun menyumbang bantuan di Kelantan dan dijangka akan membuka cawangan atau pusat pengumpulan dan operasinya pada Mei ini.
Sumber: Bernama | 18 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan