Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 21 Mac 2017

Peniaga kedai makan sedia menu ayam kampung di Tanah Merah terkesan dengan H5N1

TANAH MERAH: Pengusaha kedai makan yang menyediakan menu ayam kampung mendakwa terkesan agak teruk dengan wabak selesema burung (H5N1) yang melanda jajahan ini ketika ini.

Mereka mendakwa pelanggan semakin berkurangan kerana mereka risau dijangkiti H5N1 jika memakan ayam kampung.

Seorang peniaga Mohd Fadli Nasri, 28, berkata berikutan wabak itu, beliau terpaksa mengurangkan jumlah ayam kampung dalam menunya walaupun ia merupakan sajian utama di kedainya.

"Ia menyebabkan saya mengalami kerugian kerana kedai ini popular dengan masakan ayam kampung walaupun saya ada menambah beberapa menu lain berasaskan ikan dan daging lembu.

"Pelanggan merasa risau jika makan ayam kampung akan menyebabkan mereka dijangkiti H5N1," katanya ketika ditemui Bernama di Taman Barakah di sini, Selasa.

Mohd Fadli berkata jika dahulu, beliau mampu menyediakan kira-kira 20 hingga 30 ekor ayam kampung, namun kini terpaksa mengurangkan bilangannya kepada tidak lebih 10 ekor sehari kerana permintaannya semakin berkurangan.

Beliau menjual nasi berlaukkan ayam kampung dengan harga RM5 dan RM6 dan menambah kata hasil jualannya menurun kepada RM200 dan RM300 sehari berbanding RM1,000 sehari sebelum jajahan berkenaan dilanda wabak tersebut.

Seorang lagi peniaga Siti Aisyah Harun, 34, berkata beliau terpaksa menghentikan penyediaan menu ayam kampung buat sementara waktu sehingga jajahan berkenaan diisytihar bebas daripada H5N1 bagi mengelak menanggung lebih banyak kerugian.

Beliau berkata pelanggan bukan sahaja tidak mahu makan ayam kampung, malah menu berasaskan ayam juga disisihkan pelanggan.

Sementara itu, penternak dan juga pembekal ayam kampung Mohd Hafizudin Shaari, 22, berkata penularan wabak berkenaan amat merisaukannya memandangkan beliau baharu sahaja menceburi bidang penternakan ayam kampung.

"Saya baru menceburi bidang penternakan ayam kampung ini beberapa bulan yang lalu, namun wabak pula berlaku. Ia sekali gus menjejaskan perniagaan saya kerana tiada orang yang mahu beli ayam kampung kerana wabak ini," kata Mohd Hafizudin.

Pada 15 Mac, kerajaan negeri mengisytiharkan wabak H5N1 sebagai bencana negeri selepas beberapa ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu pada 6 Mac lepas.

Sumber: Bernama | 21 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan