Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Mac 2017

Hospital Bachok bakal beri manfaat kepada lebih 156,000 penduduk

BACHOK: Pembinaan Hospital Bachok yang dijangka siap pada 2019 akan memberi perkhidmatan kepada lebih 156,000 penduduk di kawasan itu.

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan sebanyak RM140 juta bagi pembinaan hospital itu di atas tapak seluas 20 hektar.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah tapak hospital itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Kira-kira 15,000 penduduk Bachok menyertai majlis berkenaan sempena lawatan kerja dua hari Najib ke Kelantan bermula semalam.

Selain penyediaan wad, satu bilik dewan bedah, perkhidmatan pesakit luar seperti unit kecemasan dan klinik pakar serta 10 buah mesin dialisis turut disediakan.

Ketika ini, pesakit di jajahan Bachok mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Penduduk di Bachok kini mendapat perkhidmatan kesihatan dan rawatan awal di lapan buah klinik kesihatan, Klinik 1Malaysia, 20 klinik desa dan 14 klinik swasta.

Awang Adek dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana membina hospital berkenaan.

Sumber: Bernama | 12 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan