Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 14 Mac 2017

Polis tahan tujuh anggota 'Geng Jali' aktif edar pil kuda di Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai ketua 'Geng Jali' yang aktif mengedar dadah jenis pil kuda ditahan polis dalam Ops Tapis Narkotik dalam serbuan di tepi jalan di Kampung Pulau Belanga dekat Sering di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Baharom Abu berkata dalam kejadian 9.20 malam itu, polis turut merampas 500 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.

Baharom berkata sebelum ditahan, suspek dilihat mencampakkan dua kotak rokok jenama Gudang Garam dan bertindak melarikan diri.

"Pemeriksaan awal menemui 500 biji pil kemerahan disyaki pil kuda yang disembunyikan dalam kedua-dua kotak rokok berkenaan.

"Siasatan lanjut polis mendapati suspek turut mempunyai empat rekod lampau bersabit dadah dan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Baharom berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 20 Mac untuk siasatan lanjut.

Katanya susulan penangkapan suspek itu, polis juga turut menahan enam lagi anggota geng berkenaan yang berusia sekitar 30-an yang aktif mengedar pil kuda sekitar Binjai dan Pengkalan Datu di sini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis juga sedang memburu tiga suspek berkaitan kes tetak seorang lelaki di Jalan Lundang di sini, pada 10 Mac.

Baharom berkata, suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 30-an yang juga merupakan sepupu kepada mangsa bertindak menetak mangsa selepas mangsa dikatakan bertengkar dengan ibu suspek.

Beliau berkata suspek mendatangi mangsa yang ketika itu berada di rumahnya bersama dua rakannya pada 11 malam dan menetak kepala mangsa dengan parang.

"Mangsa yang berusia 30-an itu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan menerima lapan jahitan di kepala sebelum membuat laporan polis sebaik sedar semalam," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang kini menghilangkan diri telah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Sumber: Bernama | 14 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan