PASIR PUTEH: Sebanyak RM3 juta diperlukan bagi membina pam penyedut air di pintu kawalan air pasang surut di Kampung Lembah, Semerak di sini, bagi mengurangkan ancaman banjir terutama ketika musim tengkujuh yang berlaku di Pasir Puteh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman berkata kertas kerja mengenainya akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat untuk dipertimbangkan.
"Pam itu akan berfungsi untuk menyedut air dari daratan ke Laut Cina Selatan apabila paras air laut tinggi berbanding paras daratan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Mangsa Banjir Pusingan Pertama di Dewan Othmaniah, Pulai Lima di sini Selasa.
Seramai 216 mangsa banjir di jajahan itu menerima bantuan wang tunai RM500 setiap seorang membabitkan peruntukan sebanyak RM108,000.
Zawawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak berkata pusat kawalan air pasang surut di Kampung Lembah yang ada sekarang ini hanya berfungsi melepaskan air dari darat ke laut dan menyekat air laut daripada memasuki kawasan daratan.
"Tetapi pusat kawalan itu tidak dapat berfungsi apabila keadaan paras air laut dan daratan berada pada tahap sama tinggi dan ini akan mengakibatkan berlaku banjir besar sebagaimana yang berlaku ketika banjir pada Januari lepas.
"Ia menyebabkan lebih 4,000 orang terutama mereka yang tinggal di pinggir bandar Pasir Puteh terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan apabila rumah mereka dinaiki air melebihi paras pinggang akibat limpahan Sungai Semerak," katanya.
Sementara itu, seorang penerima bantuan Norliana Norudin, 36, dari Kampung Jeram berkata beliau bersama empat orang anak termasuk seorang bayi berusia empat bulan terperangkap di dalam rumahnya lebih setengah jam apabila paras air naik mendadak melebihi satu meter ketika bencana itu melanda baru-baru ini.
Norliana berkata beliau bernasib baik kerana diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh yang memindahkan keluarganya ke sebuah pusat pemindahan banjir.
Sumber: Bernama | 21 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan