Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 28 Mac 2017

Pembukaan hotel bertaraf tiga bintang di Bandar Baharu Kubang Kerian buka peluang pekerjaan

Abdul Fattah (tiga, kanan) semasa perasmian pembukaan Hotel Al-Khatiri di Bandar Baru Kubang Kerian, semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menimbang permohonan mewujudkan Pusat Perniagaan Al-Khatiri di Bandar Baharu Kubang Kerian selepas terbinanya Hotel Al-Khatiri untuk pembangunan ekonomi di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya memberi sokongan terhadap pelaburan yang dibuat Yayasan Al-Khatiri itu bagi membantu pembangunan ekonomi sebagai bandar elit Kubang Kerian.

"Kerajaan negeri kini menimbang untuk meluluskan permohonan yayasan itu membuat cadangan mewujudkan Pusat Perniagaan Al-Khatiri yang saya percaya akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Yayasan ini bukan sahaja baru membina Hotel Al-Khatiri, sebaliknya turut mempunyai butik pakaian, kedai minyak wangi, kedai buku dan agensi pelancongan, malah akan mengembangkannya kepada bidang percetakan serta periklanan," katanya selepas Majlis Perasmian Hotel Al-Khatiri di Bandar Baharu Kubang Kerian, di sini, semalam.

Perasmian itu disempurnakan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dan turut dihadiri Pengerusi yayasan itu, Salim Salleh.

Sementara itu, Salim berkata, Yayasan Al-Khatiri memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Kubang Kerian apabila terbina sebuah hotel butik bertaraf tiga bintang.

Katanya, hotel yang memiliki pelbagai kemudahan 42 bilik membuka peluang pekerjaan, selain menyediakan hotel eksklusif berdekatan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Pihak pengurusan hotel memberi jaminan aspek keselamatan kepada pelanggan 24 jam, termasuk kemudahan lain parkir yang mencukupi.

"Selain membina hotel, kami turut memiliki kedai kain Jakel dan agensi pelancongan, Al-Khatiri Travel," katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan