TUMPAT: Seramai 1,333 keluarga mangsa banjir yang berlaku awal tahun ini di Pengkalan Kubor di sini menerima sumbangan wang ihsan berjumlah RM666,500 daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata sumbangan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga itu adalah bagi mangsa banjir peringkat pertama.
Beliau berkata keseluruhan mangsa banjir di Tumpat dianggarkan melebihi 3,000 orang dan sumbangan hari ini adalah bagi mangsa banjir di bahagian utara jajahan Tumpat.
Antara penerima termasuk mereka yang menetap di Kampung Kajang Sebidang, Simpangan dan Pengkalan Kubor, katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan wang ihsan bantuan bencana di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail serta Pengarah Pertahanan Awam Kelantan Zainuddin Hussin.
Mohd Rosdi berkata mangsa banjir di kawasan lain termasuk Wakaf Bharu, Pasir Pekan dan Pulai akan menerima sumbangan sedikit masa lagi.
"Kita percaya 70 peratus penduduk Tumpat terjejas dengan bencana banjir tetapi ramai yang tidak berpindah. Dalam hal ini bantuan juga sudah dihulurkan termasuk keperluan harian selain dapur untuk memasak ketika musim banjir yang lalu," katanya.
Beliau berkata kerjasama yang diberikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) amat dialu-alukan termasuk dalam membantu mengenal pasti mangsa yang terjejas.
Katanya semakan amat penting dalam hal ini bagi memastikan tidak berlaku ketirisan sehingga mereka yang sepatutnya menerima bantuan tidak memperolehnya.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan