Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 20 Mac 2017

KPDNKK, Polis Marin tandatangan MoU perkemas SOP ketika operasi bersepadu

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor hari ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU itu adalah untuk memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika melaksanakan operasi bersepadu dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan barangan kawalan bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh berkata walaupun kerjasama antara KPDNKK dan PPM telah lama terjalin khususnya dalam aspek penguatkuasaan di lapangan, namun menerusi SOP ini akan memperkemaskan lagi operasi bersepadu terutamanya dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan bersubsidi.

Selain itu, katanya SOP ini juga bakal memudahkan penyerahan kes-kes tangkapan oleh PPM yang dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta permohonan bantuan logistik dan kawalan daripada KPDNKK kepada PPM seperti penggunaan bot ronda dan anggota ketika menjalankan operasi.

"Pada 2015, satu bengkel telah diadakan di Pulau Pinang bagi mengkaji dan membangunkan SOP operasi bersama antara KPDNKK dan PPM," katanya.

"Lanjutan daripada bengkel itu, Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK telah mengadakan latihan di lapangan dengan penglibatan pegawai PPM dan KPDNKK melalui Kursus Strategik di Tawau, Sabah dan Ayer Keroh, Melaka, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU SOP Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pasukan Polis Marin dan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Azizan Abd Aziz dan Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Mengulas lanjut, Jamil berkata peranan dan fungsi setiap agensi penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah berbeza mengikut keperluan ianya diwujudkan.

Beiau berkata menerusi pelaksanaan NBOS, peranan kedua-dua agensi penguatkuasaan dapat digemblengkan melalui tenaga kerja dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya membanteras penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan bersubsidi.

"Sebagai makluman, penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan di kawasan sempadan ketika ini tidak lagi terhad kepada petrol dan diesel sahaja malahan barangan kawalan dan bersubsidi seperti gula, minyak masak, tong gas memasak, tepung dan beras turut berlaku.

Akibat penyelewengan barangan keperluan itu telah menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran dalam negara dan barangan tidak sampai kepada kumpulan yang disasarkan, " katanya.

Sumber: Bernama | 20 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan