Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 28 Mac 2017

Kelantan selesai isu banjir di Bandar Baharu Tunjong guna dana Kerajaan Persekutuan


KOTA BHARU: Peruntukan RM500 juta oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan akan digunakan bagi menyelesaikan kawasan sekitar Bandar Baharu Tunjong supaya tidak terdedah banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 itu akan digunakan termasuk pembinaan tebatan banjir. 

"Kawasan sekitar terbabit perlu ditambun tanah setinggi tujuh meter bagi mengelak daripada banjir.

"Kami sudah menyerahkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengkaji perkara berkenaan. Insya-Allah ia akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pelancaran Pusat 4S HONDA Malaysia Sdn Bhd di Tunjong dekat sini, hari ini. 

Ab Fattah berkata, sebanyak 80 peratus daripada 800 hektar tanah di Bandar Baharu Tunjong ketika ini dalam proses membangun dengan penyusunan pelbagai kemudahan berdasarkan pelan induk yang diluluskan kerajaan negeri

Katanya, baki 20 peratus lagi lot tanah di bandar terbabit masih belum dipenuhi dan pemaju dialu-alukan untuk melabur di lot terbabit bagi membangunkan kawasan berkenaan. 

"Mengikut pelan yang dirancang, banyak kemudahan sudah dikhususkan untuk pelbagai komponen, antaranya komersial, perumahan, akademik, ladang organik, bandar usahawan dan sebagainya. 

"Bagi komponen perumahan, sebanyak 1,000 unit rumah pertama di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina dalam masa terdekat

"Kita mengalu-alukan lagi anak Kelantan untuk memenuhi lot yang masih kosong untuk sama-sama membangunkan bandar baharu itu," katanya.

Sumber: Berita Harian | Timur | 25 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan