KOTA BHARU: Kelantan akan mewartakan 24 zon kawasan larangan merokok tahun ini menerusi program Inisiatif Bebas Asap Rokok (IKBAR).
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Datuk Dr Ramli Mamat berkata langkah itu bagi memastikan usaha melindungi masyarakat bukan perokok daripada kesan asap rokok dapat dicapai.
"Semua 24 zon berkenaan membabitkan semua jajahan di negeri ini. Zon-zon ini dalam proses pewartaan kawasan larangan merokok peringkat Kementerian Kesihatan.
"Buat masa ini, kita sedang mendidik masyarakat berhubung kesan asap rokok kepada kesihatan dan persekitaran menerusi ceramah dan edaran risalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Di Zon Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Apabila zon-zon itu diwartakan, mereka yang merokok di dalam kawasan larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Beliau berkata pada 2014, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yacob mengisytiharkan Medan Ilmu di sepanjang Jalan Datuk Pati Kota Bharu sebagai zon eksklusif bebas asap rokok.
Ramli berkata peratusan kadar merokok di Kelantan juga menurun kepada 24.6 peratus atau 300,000 orang tahun ini berbanding 27.3 peratus pada 2006.
"Namun, penurunan ini agak kecil atau perlahan. Kita harap usaha IKBAR mampu mengurangkan jumlah perokok sedia ada dengan sasaran penurunan kadar merokok kepada 15 peratus pada 2025," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata kes selesema burung (H5N1) di Kelantan kini dalam keadaan terkawal dan dijangka pulih dalam masa terdekat memandangkan tiada kes baharu dikesan.
"Semua kerja-kerja pelupusan unggas sekitar satu kilometer dari lokasi penemuan wabak di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini telah selesai dilakukan," katanya.
Virus H5N1, yang menyerang unggas di kampung itu, dikesan pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung milik penduduk mati.
Susulan itu, lebih 2,000 ayam kampung dilupuskan oleh Jabatan Veterinar bagi menangani penularan wabak itu.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan