Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Mac 2017

Kelantan mahu wujudkan pasar terapung kedua

KOTA BHARU: Kerajaan negeri bercadang membuka pasar terapung kedua Kelantan selepas Pulau Suri di Tumpat, berikutan sambutan menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata pasar terapung pertama yang diperkenalkan Jun tahun lalu dan beroperasi setiap Sabtu mendapat sambutan memberangsangkan, sehingga ramai pihak meminta mewujudkan pasar kedua.

"Ada dua lokasi strategik dan sesuai mewujudkan pasar terapung kedua iaitu Taman Mahkota dan Pengkalan Datu, Tumpat.

"Kedua-dua lokasi bertepatan kerana kawasan berkenaan mempunyai kemudahan lengkap termasuk surau dan taman permainan.

"kerajaan negeri kini mengadakan perbincangan dengan syarikat swasta sebelum memutuskan lokasinya," katanya ketika menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anizam berkata, sepanjang tahun lalu, Kelantan mencatat kedatangan 5.8 juta pelancong, berbanding sasaran enam juta.

Katanya, kemasukan pelancong itu dianggap memberangsangkan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan daripada jumlah berkenaan, seramai 4.4 juta pelancong tempatan dan 1.4 juta pelancong antarabangsa.

"Industri perhotelan juga mencatat peningkatan lebih 10 peratus dari segi bilik, sekali gus menyumbang kepada pendapatan dalam sektor perkhidmatan," katanya yang menjawab soalan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS-Limbongan).

Sumber: Berita Harian | Timur | 22 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan