JOHOR BAHRU: Kelantangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menyuarakan hasratnya untuk memutuskan hubungan dengan DAP, terus mendapat sokongan akar umbi parti termasuk dari negeri ini.
Ini dapat dilihat melalui perhimpunan aman yang diadakan oleh kira-kira 100 anggota PAS Gelang Patah di luar perkarangan Masjid Jamek Gelang Patah di sini, selepas selesaia solat Jumaat.
Wakil kumpulan itu, Hairy Rizwan berkata walaupun pernah bersama dalam Pakatan Rakyat, tetapi kini pihaknya sudah tidak ada lagi keperluan untuk bekerjasama dengan DAP yang secara jelas menolak pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.
Beliau berkata pihaknya turut kesal membantu Pakatan Rakyat berkempen dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu sehingga memenangkan Penasihat DAP Lim Kit Siang di kawasan Gelang Patah.
"Hari ini jelas, Lim Kit Siang membelakangkan kami sebagai orang Melayu malah menikam PAS dari belakang. Untuk itu, kami menyokong sepenuhnya keputusan presiden untuk memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.
"Bukan itu sahaja, kami bersetuju dengan tindakan untuk memutuskan hubungan dengan parti-parti yang ada kaitan dengan DAP.
"Terus terang kami nyatakan, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah parti yang sedang menikam PAS, namun, pada masa sama menghulurkan tangan untuk berkawan. Kami nampak permainan ini," kata Hairy yang sudah 12 tahun bersama dengan PAS.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi tidak dapat menerima DAP semula disebabkan beberapa alasan antaranya kerana parti itu menentang pelaksanaan pindaan RUU 355.
Selain itu, beliau mendakwa DAP mempunyai agenda tertentu berhubung kerjasama semula itu kerana ingin menang dalam PRU akan datang.
Sumber: Bernama | 10 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan