Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Mac 2017

Dera rakyat, kurangkan peruntukan Kelantan bukan pendekatan Najib

KUALA LUMPUR: Tindakan 'pemimpin terdahulu' mendera rakyat Kelantan dan mengurangkan peruntukan kerajaan pusat bagi negeri itu bukanlah satu pendekatan bagi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri dalam entri terbaharunya dalam blog NajibRazak.com menegaskan selaku pemimpin, beliau wajib bersikap adil kepada seluruh rakyat sebagaimana dituntut agama.

"Ada pemimpin terdahulu, waktu dia memerintah, bagi dia orang Kelantan patut didera kerana tak sokong dia, peruntukan untuk negeri Kelantan dikurangkan.

"Ini bukan pendekatan saya. Pada saya, orang Kelantan sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, perlu dibantu," katanya dalam entri bertajuk 'Pembangunan Negeri Kelantan' hari Ahad.

Beliau berkata reaksi itu timbul berikutan ada pihak bertanya mengapa beliau sering ke Kelantan dan memberi begitu banyak projek untuk negeri itu.

Dalam lawatan kerja dua hari ke Kelantan yang berakhir hari ini, Najib antara lain merasmikan sebuah hospital baharu di Bachok yang bernilai RM140 juta dan mengumumkan pembinaan Hospital Kuala Krai bernilai lebih RM300 juta.

Beliau turut mengumumkan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak di Kuala Lumpur hingga ke Wakaf Bharu di Tumpat dengan satu stesen kereta apinya terletak di Jelawat, Bachok, tidak jauh dari tapak hospital baharu itu.

"Bila siap ECRL ini, tempoh perjalanan cuma 4 jam, dan akan bawa banyak kesan sampingan, 'multiplier effect' kepada kehidupan rakyat di sini, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Insya-Allah," katanya.

Dalam lawatannya itu, Najib turut meluangkan masa menziarah rumah Mek Nab Awang, 72, Rohana Che Ali, 52, dan Aliza - tiga keluarga miskin yang menduduki rumah usang.

"Sebagai sebahagian daripada kempen Jom Bantu Rakyat yang saya lancarkan, ketiga-tiga mereka akan menerima rumah baharu yang lebih selesa.

"Sebagai Perdana Menteri, saya ingin membawa perubahan besar kepada negara, dan ini termasuklah negeri Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 12 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan