Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 21 Mac 2017

Wartakan kawasan khusus untuk penempatan Orang Asli di Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan diminta mewartakan kawasan khusus bagi penempatan Orang Asli supaya masyarakat minoriti itu tidak terus tertindas akibat aktiviti pembalakan.

Ab Aziz Yusoff (BN-Galas) berkata kerajaan negeri perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum meluluskan aktiviti pembalakan, antaranya berkaitan kawasan tadahan air, kawasan tanaman Orang Asli, kawasan kubur Orang Asli dan kawasan rayau Orang Asli.

"Apabila semua ini berlaku (pengabaian terhadap perkara berkenaan), maka timbullah keresahan dan kemarahan masyarakat Orang Asli.

"Maka tercetuslah sekatan yang menghalang pembalak-pembalak memasuki kawasan pembalakan," katanya ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Pada 3 Okt 2016, kerajaan negeri mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei sejak 26 Sept 2016.

Kumpulan Orang Asli itu menggesa semua aktiviti pembalakan di HKS Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan dengan mendakwa ia merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

"Dalam ini, kita tidak boleh marah dan menyalahkan Orang Asli yang mengambil tindakan sedemikian. Mungkin kerajaan negeri, pembalak, peladang, pelombong dan pengusaha sayur telah mengabai dan menzalimi mereka," katanya.

Ab Aziz secara sinis berkata kerajaan negeri hanya pandai memasang papan tanda bertuliskan 'Anak Muda Kelantan Sayang Hutan', namun anehnya tiada lagi hutan di sekeliling papan tanda berkenaan.

"Bagi saya, (mereka) yang tak sayang hutan adalah orang dewasa yang berkuasa melulus dan membenarkan kemusnahan hutan ini terjadi," katanya.

Sumber: Bernama | 21 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan