KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.
Ini termasuklah cadangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula dengan pengecaman jajaran dan pengambilan tanah pada tahun ini.
"Beta bersyukur jajaran yang bermula dari Gombak, Selangor ini akan dipanjangkan sehingga ke Pengkalan Kubor di sempadan Kelantan dan Thailand," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-13 di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Baginda bertitah antara projek infrastruktur kerajaan persekutuan ialah pembinaan Jalan Pasir Mas 'Bypass' Fasa Dua, menaik taraf Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu secara berfasa serta projek jejambat merentangi Bulatan Wakaf Bharu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat.
Baginda turut sukacita langkah kerajaan negeri merancakkan pembangunan infrastruktur asas sebagai pemangkin kepada kemajuan sosioekonomi negeri.
"Beta berharap melalui projek pembangunan infrastruktur seperti Projek Menaik Taraf Jalan Pasir Hor-Pasir Jelatang dan pembinaan sebahagian Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan Bukit Tiu dan Kampung Berangan Mek Nab akan menjadi projek yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat," titah baginda.
Baginda juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang menganjurkan program untuk menarik pelabur ke negeri ini.
"Beta difahamkan kerajaan negeri bersama MIDA sedang berbincang dengan pelabur dari China untuk membangunkan industri simen di jajahan Gua Musang yang dijangka akan membawa masuk nilai pelaburan berjumlah RM1.5 bilion," titah baginda.
Tengku Dr Muhammad Faiz turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana dapat menggembleng usaha menangani bencana banjir baru-baru ini dengan cekap, sekali gus kebajikan rakyat Kelantan yang terlibat dengan musibah berkenaan terbela.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, semasa ucapan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan, berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan telah membuahkan hasil yang baik terutama ECRL yang memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan.
Katanya projek ECRL akan membuka peluang dalam sektor pelaburan, pelancongan, pekerjaan di samping wujudnya pelbagai infrastruktur untuk dinikmati rakyat.
Persidangan dewan bersambung esok.
Sumber: Bernama | 20 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan