Che Faridah (dua, kanan) menyapu air matanya, sebak ketika menerima kunjungan Malaysia Airports. |
KOTA BHARU: Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) membelanjakan sebanyak RM54,000 bagi membantu tiga keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Sokongan Komuniti Desa di Kelantan.
Seorang penerima, Che Faridah Yusof yang juga tukang cuci di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra berkata, dengan gaji RM900 sebulan yang diterimanya, dia menyara kehidupan anak dan dua cucu serta ibunya berusia 80-an.
Che Faridah berkata, setiap hari dia perlu berjimat cermat dan makan ala kadar supaya masih ada duit untuk perbelanjaan harian anak serta cucu-cucunya.
“Saya ada empat anak, tiga sudah berkahwin tapi ada yang masih tinggal sebumbung dengan saya.
“Ini dugaan hidup kami. Kami reda, selagi ada kudrat, selagi itu saya kerja untuk bantu suami demi makan dan minum kami,” katanya yang sudah bekerja selama lima tahun dengan syarikat tersebut.
Terdahulu, dia menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali bersama isterinya, Datin Rogayah Ibrahim serta pengurusan kanan syarikat, di rumah Che Faridah, di Kampung Tok Sadang.
Che Faridah memberitahu, dia juga tidak boleh mengharapkan anak perempuan yang sudah berkahwin untuk membantu mencari rezeki memandangkan selepas bercerai anaknya itu terpaksa menjaga dua anaknya berusia 8 dan 3 tahun sepenuh masa.
“Kalau nak kira duit gaji memanglah tak cukup. Sebab itu kadang-kadang saya ambil upah cuci rumah orang sebelum ni.
“Saya bersyukur sebab ada pihak yang masih mengambil berat pasal keadaan pekerja walaupun seorang tukang sapu. Alhamdulillah,” katanya.
Kisah hidup Che Faridah mendapat perhatian Malaysia Airports dan sebanyak RM16,000 diperuntukkan untuk keluarga itu melibatkan bantuan keperluan asas, peralatan keperluan dapur, pendidikan serta membaiki rumah.
Sementara itu, Badlisham mengharapkan sumbangan itu dapat menyuntik semangat keluarga terpilih untuk meneruskan hidup.
“Walaupun bantuan ini tidak berterusan, namun sekurang-kurangnya ia boleh membahagiakan mereka.
“Ini tanggungjawab kita, berkongsi dengan golongan memerlukan. Kita menyumbang kembali kepada komuniti setempat dan mendekati kumpulan seperti ini,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke nombor akaun 153010847998 (Che Faridah Yusof- Maybank).
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan