Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 16 Ogos 2016

Polis bongkar makmal proses syabu di Ampang, 13 lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki syabu dan merampas bahan larangan itu dengan anggaran nilai RM2.4 juta dalam lima serbuan di empat lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) SAC Kang Chez Chiang berkata polis turut menahan 13 lelaki berusia antara 22 dan 49 tahun merangkumi enam warga tempatan, enam warga India dan seorang warga Bangladesh.

Beliau berkata operasi antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.30 tengah hari itu dijalankan di Ampang, Gombak, Klang dan Brickfields oleh JSJN serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Antara yang ditahan ialah seorang yang dikenal pasti sebagai 'ahli kimia' kerana memiliki kepakaran memproses cecair syabu, katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Hasil serbuan itu, polis membongkar kewujudan sebuah rumah di Ampang yang dijadikan makmal haram oleh ahli kimia itu untuk memproses dadah disyaki syabu berkenaan," kata Kang.

Polis turut merampas sepucuk pistol Glock 19, 9.3 kilogram (kg) kristal disyaki dadah syabu, 63 liter cecair disyaki syabu, 15kg Ephedrine, pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

Aset lain yang disita ialah lapan kereta termasuk model BMW, Toyota Hilux dan Toyota Estima, mata wang asing, seutas jam tangan berjenama dan barang kemas.

Menurut Kang, kesemua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan memproses dan mengedar bahan terlarang itu sejak enam bulan lalu untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan Johor.

Mereka direman tujuh hari mulai Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Kang berkata sepanjang 1 Jan hingga 11 Ogos 2016, polis menangkap 124,186 orang atas kesalahan dadah selain merampas dadah bernilai RM159.36 juta antaranya syabu sebanyak 439.36kg, ketamin (325.10kg), 148,194 pil ekstasi, ganja (2,510kg) dan heroin (257kg).

Sumber: Bernama | 16 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan