Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 13 Ogos 2016

Sazali Samad nekad aktif semula sebaik hukuman berakhir

JAGUH bina badan negara, Sazali Samad menganggap pertandingan bina badan sudah sebati dengan dirinya dan tidak berhasrat bersara walaupun kini menjalani penggantungannya empat tahun.

Sazali, 48, yang merupakan juara 10 kali Mr Universe berkata, walaupun beliau kini tidak boleh terlibat secara langsung dalam segala aktiviti bina badan, beliau tetap mengekalkan bentuk fizikal dan staminanya bagi persediaan akan datang apabila hukumannya berakhir.

"Saya masih terus dengan latihan yang lebih konsisten dan menjaga segala pemakanan bagi mengekalkan bentuk badan seperti sebelum ini.

"Sekarang saya tidak boleh terlibat dalam pertandingan, namun saya dijadikan ikon kepada anak-anak muda yang mahu turut serta dalam sukan ini.

"Anak saya, Muhamad Hazim yang baru berusia 16 tahun juga turut menunjukkan minat yang sama dengan saya. Saya harap beliau akan menyambung legasi saya," katanya kepada pemberita pada pertandingan Malaysia Fitness Model Search anjuran Akademi Sazali Samad di sini, hari ini.

Akademi bina badan yang baharu sahaja ditubuhkan itu akan dilancarkan pada Oktober ini. Akademi itu dimiliki isterinya, Hashrine Hashim dan Sazali dijadikan ikon akademi tersebut.

Penggantungan empat tahun yang bermula pada 22 September 2015 itu dikenakan ke atas Sazali selepas beliau didapati positif ujian doping yang dijalankan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept lepas sebelum berlepas ke Tashket, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia ke-49.

Mengulas mengenai Akademi Sazali Samad, beliau berkata penubuhan pusat bina badan itu adalah bagi mencari bakat baharu yang boleh diketengahkan agar sukan tersebut tidak terkubur.

Katanya melalui penganjuran pertandingan pertama oleh akademi itu, seramai lapan peserta bina badan akan dipilih untuk mewakili negara ke pertandingan yang akan diadakan di Singapura, bulan depan.

"Mereka akan dilatih dan diberikan motivasi oleh saya sebelum beraksi di Singapura nanti... badan belum cukup siap lagi tapi masih ada lagi sebulan untuk siapkan diri mereka. Saya akan kongsikan pengalaman saya dengan mereka," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan