Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 24 Ogos 2016

SPRM Kelantan siasat satu kes rasuah berhubung pembalakan haram di Gua Musang

PASIR PUTEH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang menyiasat satu kes rasuah berhubung aktiviti pembalakan haram di Gua Musang susulan aduan daripada Orang Asli di kawasan itu.

Pengarahnya Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata berdasarkan aduan, kes itu membabitkan suapan seperti wang tunai, beras dan rokok oleh pembalak haram yang mahu menceroboh kawasan hutan berdekatan kampung mereka pada bulan lepas.

"Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemberi suapan itu. Cara ini menunjukkan Orang Asli mempunyai kesedaran yang tinggi apabila mereka tidak menerima rasuah dan saya harap masyarakat lain juga sedar tentang bahaya rasuah," katanya ketika ditemui pemberita di Seminar Integriti Mengenai Penyahutanan Bagi Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) di sini, Rabu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Zahari Ibrahim dan Timbalan Pengarah Makro Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan Engku Rajhan Engku Ismail.

Moh Samsuddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi rasuah.

Katanya mana-mana individu yang ditawarkan rasuah perlu melaporkan perkara itu kepada agensi berkenaan mengikut Seksyen 25 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Jika gagal membuat laporan boleh didenda sehingga RM10,000, manakala bagi pegawai kerajaan pula boleh didenda hingga RM100,000," katanya.

Sementara itu, Engku Rajhan berkata kerajaan Kelantan akan mengambil semula tanah yang diteroka oleh peneroka haram untuk pembangunan pelbagai projek yang memberi faedah kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya membuka kawasan hutan kerana perlu membuat kajian dan perbincangan terlebih dahulu dengan pelbagai pihak termasuk peneroka.

"Misalnya, Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang, kita mahu membangunkan kawasan itu kerana ia agak ketinggalan berbanding jirannya, Cameron Highlands (di Pahang).

"Tanah Tinggi Lojing dibangunkan untuk menjadi pusat pelancongan, jadi kerajaan negeri mahu mengambil kesempatan itu yang memberi pelbagai kebaikan kepada penduduk setempat termasuk ekonomi tanpa memberi kesan kepada alam sekitar," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan