KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji keperluan untuk menyeragamkan waktu operasi pintu masuk ke negara ini terutama di sempadan Malaysia-Thailand, kata Timbalan Menterinya Masir Kujat.
"Itu terpulang kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kita akan merujuk kepada pihak atasan sama ada untuk seragamkan (waktu operasi) ataupun ikut keperluan masing-masing.
"Jadi kalau ditutup awal, seragamkan semua, kalau nak pergi ke sana (Thailand) kena bermalamlah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri Kelantan di Bilik Gerakan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan setiap minggu, lebih 30,000 orang yang sebahagian besarnya rakyat negara ini, melintas sempadan Malaysia-Thailand menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam, Kedah selepas pukul 6 petang.
Kebanjiran rakyat Malaysia melintasi negara selepas 6 petang dipercayai untuk berhibur kerana sebahagian besar premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai di pekan Danok, Thailand sudah ditutup.
Menurut laporan itu, lanjutan sehingga tengah malam pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam mendedahkan negara dengan masalah sosial, terutama dadah dan penyeludupan senjata api.
Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sejauh 646 kilometer merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis dan mempunyai lapan pintu masuk utama.
Pintu masuk utama di Kelantan itu pula adalah di Bukit Bunga, yang beroperasi 6 pagi hingga 7 malam, Rantau Panjang (6 pagi hingga 10 malam) dan Pengkalan Kubor (6 pagi hingga 6 petang).
Di Perak, pintu masuk utamanya di Bukit Berapit, Perak yang beroperasi mulai 6 pagi hingga 11 malam, manakala di Kedah pula terletak di Bukit Kayu Hitam (6 pagi hingga 12 tengah malam) dan Kota Putra (8 pagi hingga 6 petang).
Selain itu, pintu utama di Perlis terletak di Padang Besar yang beroperasi mulai 6 pagi hingga 10 malam manakala Wang Kelian pula mulai 8 pagi hingga 7 malam.
Sumber: Bernama | 9 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan