Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. |
INSYA-ALLAH pada 21 Oktober 2016 nanti, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan Negara 2017 (Bajet 2017) di Dewan Rakyat.
Pembentangan belanjawan ini pastinya ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar rakyat terutamanya kakitangan awam kerana ia biasanya melibatkan pengumuman bonus untuk kakitangan awam, dasar-dasar cukai yang melibatkan rakyat, bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, pengumuman projek-projek pembangunan di seluruh negara, dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, bagi rakyat Kelantan ada beberapa perkara yang selalu diharapkan supaya dimasukkan ke dalam pembentangan belanjawan negara, iaitu pembangunan infrastruktur lebuh raya dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kelantan.
Lebuh Raya Ekspres
Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang masih belum dihubungkan dengan jaringan lebuh raya ekspres (expressway) dengan ibu kota Kuala Lumpur. Negeri-negeri Pantai Barat dari Perlis sehingga ke Johor telah dihubungkan dengan Lebuh Raya Utara - Selatan, manakala negeri-negeri Pantai Timur, iaitu Pahang dan Terengganu telah dihubungkan dengan ibu kota Kuala Lumpur dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Sehubungan dengan itu, sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan meluluskan projek Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Kuala Nerus, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan untuk melengkapkan jaringan lebuh raya ekspres dengan semua negeri di Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan juga diminta mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Utama Tengah (Central Spine Road) atau ringkasnya Lebuh Raya CSR dari Simpang Pelangai, Pahang sehingga ke Kuala Krai, Kelantan. Hal ini kerana ada beberapa pakej yang masih belum bermula pembinaannya, iaitu Pakej 1, Pakej 2, Pakej 4, dan Pakej 6, manakala sebahagian Pakej 3 dan Pakej 5 sedang dalam pembinaan.
Sementara itu, projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) hanya Pakej 1B dan Pakej 2A yang sedang dalam pembinaan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diminta menyediakan peruntukan untuk projek LPT3, Lebuh Raya CSR, dan Lebuh Raya KBKK di bawah Bajet 2017 nanti. Jaringan lebuh raya yang baik menghubungkan Kelantan dengan Kuala Lumpur dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain bukan sahaja dapat menjimatkan masa perjalanan tetapi juga dapat merangsang industri pelancongan domestik, pelaburan langsung asing, dan juga aktiviti perdagangan.
Sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan merupakan lapangan terbang domestik ketiga tersibuk di Malaysia dari segi jumlah pergerakan trafik penumpang selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Miri (LTM) di Miri, Sarawak.
LTSIP juga merupakan lapangan terbang tersibuk di Wilayah Pantai Timur dengan mengendalikan lebih dua juta penumpang setahun sejak 2015. Ia bukan sahaja menjadi pintu masuk utama ke Kelantan dan Pulau Perhentian tetapi bagi Wilayah Pantai Timur secara keseluruhannya.
Wilayah Pantai Timur merupakan satu-satunya wilayah yang masih belum dilengkapi dengan kemudahan lapangan terbang antarabangsa berbanding wilayah-wilayah Utara, Tengah, Selatan, Sabah, dan Sarawak dengan maklumat seperti berikut:-
- Wilayah Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak): Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA)
- Wilayah Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Negeri Sembilan): Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
- Wilayah Selatan (Melaka dan Johor): Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (SIA)
- Wilayah Sabah (Sabah dan Labuan): Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
- Wilayah Sarawak (Sarawak): Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA)
- Wilayah Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, dan Pahang): Tiada lapangan terbang antarabangsa
Dengan mengambil kira pergerakan trafik penumpang tahunan dan juga kedudukan strategik LTSIP berhampiran Teluk Thailand, LTSIP wajar dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk Wilayah Pantai Timur.
Dengan kemudahan lapangan terbang yang baik termasuk landasan yang cukup panjang, ia pastinya akan dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTSIP terutamanya syarikat penerbangan serantau dengan menawarkan beberapa laluan antarabangsa secara terus ke Kota Bharu, Kelantan.
Kerajaan Persekutuan wajar menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa termasuk memanjangkan landasannya daripada 2,400 meter kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter dan bukannya kepada 2,500 meter sahaja.
Perkara-Perkara Lain
Selain itu, antara perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangan Kerajaan Persekutuan di bawah Bajet 2017 untuk rakyat Kelantan nanti adalah seperti berikut:-
Perkara-Perkara Lain
Selain itu, antara perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangan Kerajaan Persekutuan di bawah Bajet 2017 untuk rakyat Kelantan nanti adalah seperti berikut:-
- Perkhidmatan bas Rapid Kota Bharu (RapidKB) yang telah dijanjikan sejak tahun 2013.
- Sebuah terminal bas ekspres bersepadu di Kota Bharu.
- Projek tebatan banjir Sungai Kelantan dan Sungai Golok.
- Pembesaran Lebuh Raya Pasir Mas - Rantau Panjang kepada empat lorong.
Sumber: KBBRI | www.kbbri.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan