Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 31 Ogos 2016

40 pelancong Singapura sertai Program Pelancongan Korban di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Program Pelancongan Korban anjuran kerajaan negeri pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 40 pelancong Singapura, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata kunjungan pelancong Singapura itu ke negeri ini bagi menyertai program itu adalah rentetan daripada promosi 'Beautiful Terengganu' yang diadakan pada 11 hingga 14 Ogos lalu di republik itu.

"Alhamdulillah, melalui kempen yang diadakan dalam waktu yang begitu singkat ini kita berjaya menarik 40 orang pelancong untuk datang menyertai ibadah korban di negeri ini ... mereka akan datang pada 10 Sept ini (susulan Aidiladha dijangka disambut pada 12 Sept) dan kita akan korbankan enam ekor lembu.

"Program ini juga adalah hasil kerjasama pelbagai pihak seperti Hotel Permai dan Homestay Teluk Ketapang," katanya pada sidang media selepas program sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri, di sini Rabu.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan kekanda baginda Tengku Nadhirah Zahrah.

Ahmad Razif berkata pihaknya juga sedang dalam perbincangan dengan sebuah pasaraya terkemuka di Singapura iaitu Big Box untuk memasarkan produk Terengganu di Singapura dan cawangannya di Indonesia.

Bersempena perarakan tersebut, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin dinobatkan sebagai johan keseluruhan kontinjen perarakan dan membawa pulang RM5,000 berserta piala pusingan.

Kontinjen sekolah tersebut yang berjaya mengatasi 159 kontinjen lain turut dinobatkan sebagai johan bagi kategori Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform dengan membawa pulang RM4,000 berserta piala pusingan.

Sementara itu, ketua kontinjen terbaik menjadi milik ketua kontinjen Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM500 berserta piala.

Seramai 5,236 peserta menyertai perarakan sejauh tiga kilometer yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Dataran Batu Burok.

Sumber: Bernama | 31 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan