Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 28 Ogos 2016

UMK perkasa kerjasama pendidikan dengan sektor korporat

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang memperkasakan kerjasama pendidikan dengan sektor korporat bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang memenuhi kehendak pasaran.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata kerjasama tersebut akan memberikan pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar dalam bidang keusahawanan.

"Mereka (syarikat korporat) mempunyai kaedah pembelajaran tertentu bagi membantu meningkatkan kualiti para graduan untuk menembusi sektor pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UMK di sini, hari ini.

Hamad Kama Piah berkata hanya lima peratus daripada 1,062 graduan UMK pada tahun lepas, masih belum mendapat tempat dalam sektor pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

"Ia (statistik) satu perkembangan yang baik dan menjadi rangsangan kepada kami bagi melahirkan pelajar yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dalam apa jua pekerjaan sama ada menjadi usahawan atau perkhidmatan lain," katanya.

Beliau mahu pelajar memahami secara menyeluruh ciri-ciri keusahawanan yang diterapkan semasa di universiti kerana ia penting untuk mereka menceburi bidang keusahawanan atau sektor pekerjaan lain.

UMK sentiasa mengkaji kaedah pembelajaran agar ia bersesuaian dengan kehendak pasaran semasa, kata Hamad Kama Piah.

"Kami mahu menekankan pembelajaran yang peka dengan perubahan semasa kerana industri akan berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Pada majlis itu, seramai 97 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Gemilang Universiti (54 orang), Anugerah Khas Naib Canselor (seorang), Anugerah Khas Cuti Belajar (seorang) dan Anugerah Jasa Bakti (empat orang).

Turut hadir Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan