Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 25 Ogos 2016

Program Penghijauan Diraja di Kelantan

PASIR PUTEH: Jabatan Perhutanan Kelantan akan melaksanakan program kesedaran kepentingan penjagaan hutan yang membabitkan penyertaan Istana Kelantan. 

Program yang dinamakan Program Penghijauan Diraja dijangka dilancarkan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Oktober ini di Kuala Krai. 

Pengarah Perhutanan Negeri, Zahari Ibrahim, berkata kesudian Sultan Kelantan melancarkan program itu membuktikan keprihatinan Istana Kelantan terhadap kepentingan penjagaan hutan sebagai khazanah negeri. 

Katanya, menerusi program itu kawasan seluas empat hektar akan ditanam dengan pelbagai pokok hutan. 

"Kita berasa berbesar hati apabila Sultan Kelantan begitu prihatin dengan isu penjagaan hutan di negeri ini," katanya ketika sidang media selepas Seminar Integriti Mengenai Penyahutanan Bagi Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) yang bertemakan 'Cegah Rasuah dan Ketirisan: Tingkat Hasil', di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Moh Samsuddin Yusoff. Zahari berkata, kesedaran tinggi terhadap usaha pemulihan hutan patut dicontohi pelbagai pihak termasuk di kalangan orang ramai, mahupun badan bukan kerajaan (NGO). 

"Sehingga Ogos tahun ini Jabatan Perhutanan Kelantan sudah menanam 1.1 juta anak pokok hutan daripada pelbagai spesis," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk program pemulihan hutan di Kelantan dan sejak 2010 lebih 5 juta anak pokok hutan sudah ditanam.

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 24 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan