BACHOK: Lulusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) digesa menerokai peluang perniagaan di luar negara khususnya di negara anggota ASEAN.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara ASEAN terutama Kemboja, Myanmar, Singapura dan Filipina mempunyai peluang perniagaan yang besar seperti dalam bidang perhotelan.
"Pada tahun 2015, kerajaan sudah isytiharkan negara-negara ASEAN sebagai satu komuniti untuk menjalin perdagangan yang lebih rapat dalam kalangan negara anggota," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi pendaftaran pelajar baharu bersempena Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2016 di Kampus UMK Bachok, di sini, hari ini.
Seramai 2,430 pelajar dari seluruh negara ditawarkan untuk mengikuti 23 bidang pengajian di UMK. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed.
Mustapa yang juga Menteri Mentor UMK berkata siswazah tidak seharusnya hanya melihat peluang perniagaan dalam negara atau mengharapkan bekerja dengan kerajaan.
"Mereka mesti merebut peluang itu sesuai dengan teras penubuhan UMK sebagai sebuah universiti berasaskan keusahawanan kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam kini sangat terhad," katanya.
Mustapa berkata kementeriannya sedang mengadakan promosi untuk menarik minat rakyat negara ini menerokai peluang perniagaan yang terbentang luas di negara jiran.
"Pada 4 September ini, kita (kementerian) adakan promosi perdagangan di Bangkok (Thailand) dan hujung Oktober pula satu promosi penerangan peluang perniagaan akan diadakan di sempadan Malaysia dan Thailand," katanya.
Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan