Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Ogos 2016

HUSM mudahkan proses rawatan kanser


Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan Pusat Pengajian Sains dan Perubatan USM, Prof. Dr. Dinsuhaimi Sidek (kiri) bersama Mohd. Shafie Abdullah, semasa lawatan ke Pusat Sumber Kanser Payudara HUSM di Kota Bahru, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Pusat Sumber Kanser Pa­yudara yang ditubuhkan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini sejak enam tahun lalu berjaya membantu mempercepatkan proses rawatan pesakit.

Penaungnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Shafie Abdullah berkata, para pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat sumber itu tidak perlu melalui proses yang rumit.

Beliau berkata, malah hasil daripada sesuatu pemeriksaan itu dapat diketahui dalam tempoh singkat.

“Selain itu, pusat ini juga menyediakan pakar kaunseling bagi membantu pesakit kanser memulihkan semangat mereka.

“Pusat ini dibuka lima hari seminggu dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Lebih istimewa, mereka yang ingin mendapatkan rawatan boleh pergi ke pusat ini pada bila-bila masa tanpa perlu mengatur temu janji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Kesejahteraan Wanita 2016 di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan di sini hari ini.

Tambah beliau, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 149 pesakit kanser dari negeri ini mendapatkan rawatan dan bimbingan di pusat berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Shafie memberitahu, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum sedar mengenai cara dan langkah terbaik merawat pe­nyakit kanser.

“Saya harap mereka yang mempunyai masalah dan cuba melawan penyakit kanser agar datang ke pusat ini dan kita akan membantu,” katanya.

Dalam pada itu seorang pesakit, Asaritaminaziah Hisham, 39, berkata, selepas mendapatkan rawatan di pusat berkenaan sejak tahun 2014, dia kini semakin mempunyai keyakinan diri bagi melawan penyakit kanser.

“Saya dikesan menghidap pe­nyakit kanser payudara sejak dua tahun lalu. Sejak itu saya mula hilang keyakinan diri dan murung. Namun selepas mendapatkan rawatan di sini, kehidupan saya mula berubah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 9 Ogos 2016 | Terbitan 10 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan