KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan menumpukan usaha mempertingkat aspek kebersihan tandas awam dan tempat tarikan pelancongan untuk merancakkan lagi industri pelancongan sekali gus menjayakan Tahun Melawat Pahang 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata tandas awam dan tempat rekreasi yang bersih memainkan peranan sangat penting untuk menggamit pelancong ke Pahang selain promosi yang hebat.
"Kami akan memastikan kemudahan membuang sampah di tempat pelancongan sentiasa dipertingkatkan sebab ada sesetengah tempat tidak ada kemudahan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra Aidilfitri Pelancongan dan Kebudayaan negeri di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Mohd Sharkar berkata pihaknya juga akan turun padang ke setiap daerah mendekati penggiat industri pelancongan dan pihak berkuasa tempatan bagi memberi penerangan berhubung prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek penjagaan kebersihan tandas awam dan tempat rekreasi.
Menurutnya kerajaan negeri juga akan memperbanyak lagi produk ekopelancongan untuk menjadikan negeri ini sebagai pilihan utama pelancong untuk aktiviti itu.
"Kami sentiasa cuba mencari produk baharu contohnya di Merapoh dan Pekan. ECER (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) sedang mengusahakan untuk menaik taraf Taman Negeri dan kita juga ada berbincang bagaimana (Pulau) Tioman sebagai contohnya untuk (menjadi) Taman Laut.
"Baru-baru ini pun kami dapat cadangan mengatakan ada air terjun (baharu) di Jerantut tetapi untuk pergi ke tempat tersebut agak sukar. Jadi kemungkinan kami akan bina jalan ke tempat tersebut dan ia akan menjadi tempat tumpuan yang baharu," katanya.
Mohd Sharkar berkata ramai pelancong datang ke negeri ini disebabkan untuk menikmati keindahan hutan semula jadi.
Sumber: Bernama | 3 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan