Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 16 Ogos 2016

Polis Marin Pengkalan Kubor rampas 900 liter diesel cuba diseludup

TUMPAT: Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor merampas sejumlah 900 liter minyak diesel bernilai RM1,575 hasil serbuan di Kampung Pak Keral di sini, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor ASP Ahmad Amri Ab Rahman berkata serbuan itu dlakukan pada pukul 6 petang di sebuah lokasi dipercayai tempat penyimpanan diesel yang akan diseludup ke negara jiran.

"Minyak diesel itu ditemui dalam 30 tong di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback berhampiran sebuah premis tidak bernombor.

"Selepas menunggu beberapa ketika, kami dapati tiada mana-mana individu yang datang mengaku memiliki kenderaan dan minyak diesel tersebut. Kesemua barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, Selasa.

Ahmad Amri berkata rampasan itu dilakukan mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967.

Dalam pada itu, beliau berkata PPM Pengkalan Kubor akan mempertingkatkan lagi usaha mengesan dan menangkap individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan terutama di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bagi memastikan bahan bersubsidi tidak mengalir keluar negara.

Katanya masyarakat terutama yang tinggal di sepanjang sempadan juga diingatkan supaya tidak melindungi kegiatan ini selain disaran untuk menyalurkan maklumat dan kegiatan seumpama itu kepada PPM Pengkalan Kubor.

Sumber: Bernama | 16 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan