Ab Rahman (kiri) meninjau operasi sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam, sempena Ops Cantas Khas II, semalam. |
RANTAU PANJANG: Tiada kes gengsterisme di Kelantan, namun Polis Kelantan menangkap 12 warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan migran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.
Selepas tiga hari Ops Cantas Khas II diadakan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 1,746 penduduk melalui sekatan jalan raya dan serbuan dari rumah ke rumah.
“Kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran kebanyakannya warga Myanmar.
“Kelantan menjadi transit sebelum pendatang ini dihantar ke seluruh negara terutama Lembah Klang.
"Mereka disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atip Som),” katanya.
Beliau ditemui selepas tinjauan di Sekatan Jalan Raya Cabang Empat Salam, sempena Ops Cantas Khas II, semalam.
Ab Rahman berkata, pihaknya memandang serius usaha membanteras jenayah bukan hanya penyeludup migran malah menangani elemen kongsi gelap.
Menurutnya, Ops Cantas II merupakan operasi besar-besaran pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama balai polis setiap daerah.
Bagi tujuan ini, beliau berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan di pangkalan sepanjang Sungai Golok bagi mengelak kemasukan dan lolos dalam kalangan ahli kongsi gelap.
Meskipun tiada kes kongsi gelap di Kelantan, Ab Rahman berkata, dibimbangi elemen gengsterisme dari negeri lain melarikan diri ke negara jiran menerusi sempadan negara di Kelantan.
“Kita akan banteras mereka habis-habisan dan mengekang penjenayah yang berhasrat melarikan diri ke negara jiran,” katanya.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya lapan cedera dan seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan dipercayai berpunca daripada bom tangan dekat sebuah premis hiburan di Puchong, Selangor, awal pagi 28 Jun lalu.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan