Othman bersama anak lembu yang kehilangan ibunya selepas dicuri malam kelmarin. |
BACHOK: Seorang peniaga dekat sini kerugian kira-kira RM8,000 apabila seekor lembu yang baru sahaja dibeli minggu lalu dicuri sebuah sindiket dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Othman Hussein, 52, berkata, dia sememangnya bercuti pada setiap malam Rabu untuk pulang ke kampungnya di Kota Bharu.
“Apabila tiba di Limbat saya dihubungi jiran memaklum ibu lembu tepi warung dah tak ada. Lampu yang memang saya pasang sebelum balik kampung dipecahkan untuk mudahkan mereka curi lembu tu.
“Balik dari rumah keluarga malam semalam juga saya terus lapor polis. Saya tak pasti sama ada mereka tahu saya cuti pada setiap malam Rabu atau macam mana. Namun saya reda mungkin tak ada rezeki walaupun baru sahaja beli lembu itu minggu lepas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, kecurian lembu seperti itu berlaku di mana-mana sahaja termasuk rakannya yang juga peniaga di pasar Jelawat tidak sempat untuk membeli lembu daripada seorang penternak di Kota Bharu kerana lembunya itu juga dicuri orang.
Manakala, jiran mangsa, Zakarim Maliki, 35, berkata, dia amat terkilan kerana tidak dapat mengesan jejak awal pencuri itu kelmarin.
Menurutnya, petang sebelum kejadian dia ada berbual dengan Othman atau lebih dikenali sebagai Abang Man yang meminta dia memantau kedainya malam itu kerana ingin pulang ke kampung.
“Saya memang ada nampak sebuah kereta Honda Prelude warna merah dan sebuah van Nissan Vennete warna perak yang berlegar di sekitar depan kedai petang itu tetapi saya tak syak apa-apa. Bila saya ke masjid, ada jemaah cakap lampu kedai dah padam.
“Kami bersangka baik mungkin sebab ada orang tengah baiki lampu tersebut. Tak lama lepas tu barulah ada yang perasan lembu Abang Man dan tak ada. Kemudian saya terus maklumkan Abang Man dan saya juga cuba cari kereta berkenaan hingga ke Gunong berdasarkan petunjuk yang diberikan rakan-rakan selepas saya uar-uarkan perkara itu dalam Facebook, tetapi gagal temuinya,” katanya.
Zakarim berkata, kawasan itu sebelum ini bersih daripada kegiatan mencuri lembu namun sejak minggu ini sudah dua kejadian sama berlaku.
Beberapa hari sebelum itu, seekor lembu penduduk berdekatan juga hilang mungkin dilakukan sindiket sama.
Justeru, beliau berharap pemilik lembu dapat memantau ternakan mereka lebih berhati-hati.
Zakarim berkata, berdasarkan pengetahuannya, lembu-lembu yang dicuri itu berkemungkinan dijual kepada penternak lain dengan harga yang lebih murah memandangkan Aidiladha akan menjelma tidak lama lagi.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan