Sazali Samad (tengah) bersama para peserta Malaysia Fitness Model Searvch 2016. |
SUBANG: “Untukmu Malaysia.” Juara Mr Universe 10 kali, Sazali Samad masih belum mahu mengangkat bendera putih dan dia tidak memikirkan soal persaraan apabila tempoh penggantungan empat tahun yang dikenakan terhadapnya susulan gagal ujian doping, tamat pada 2019 nanti.
Malah pada usia 49 tahun ketika ini, Sazali yang juga Mr Asia sebanyak sembilan kali itu menyuarakan hasratnya untuk kembali menggegar pentas antarabangsa apabila ‘bebas’.
“Menyertai pertandingan adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi saya walaupun saya mempunyai perniagaan atau perkara lain yang sedang dilakukan. Jiwa saya sememangnya minat untuk bertanding.
“Tiada yang mustahil dan saya sentiasa berfikiran positif. Selepas tamat penggantungan saya tidak akan bersara sama sekali. Sukan ini sudah sebati dengan diri saya,” jelasnya.
Sazali yang dilabel antara ikon sukan negara, dikenakan penggantungan empat tahun sejak tahun lalu susulan gagal ujian doping.
“Malah, hingga kini saya tetap menjaga otot, menjalani latihan dan mengawal pemakanan,” tambahnya.
Terdahulu, dia hadir pada pertandingan Malaysia Fitness Model Search 2016, program pertama yang dianjurkan Akademi Sazali Samad selepas ditubuhkan kira-kira sebulan lalu.
Menjelaskan lebih lanjut, peguam Sazali, Mohd Norasmawi Norani berkata, program berkenaan diharapkan tidak menimbulkan masalah walaupun Sazali masih menjalani penggantungan.
“Sazali hanya sekadar ikon dan akademi itu diketuai isterinya, Hashrine Hashim. Jadi saya fikir ia tidak salah,” jelasnya.
Sumber: Harian Metro | Arena | 14 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan