KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganjurkan Program Latih Amal Pengendalian Bencana Banjir Zon Pantai Timur bagi meningkatkan kefahaman agensi kerajaan terhadap kaedah dan strategi pengendalian bencana tersebut.
Ketua Pengarahnya Datuk Zaitun Ab Samad berkata ia antara inisiatif pihaknya dalam membuat persediaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang tahun ini.
Program itu juga sebagai memantapkan koordinasi pos kawalan tempat kejadian dalam mengatur gerak kerja agensi semasa berlaku bencana selain menambah baik strategi pengendalian bencana dan peranan agensi tindak balas, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program tersebut di Kem Batalion Kelapan Pasukan Gerakan Am (PGA8) di sini, hari ini.
Seramai 250 peserta terlibat dalam program dua hari itu yang bermula hari ini, antaranya daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Zaitun berkata program itu melibatkan sesi akademik untuk memperjelaskan kepada peserta mengenai dasar, garis panduan dan peraturan sedia ada dalam pengendalian situasi bencana dan sesi perbincangan senario bencana.
"Sebenarnya latih amal 'Tabletop Exercise (TTX) dan Command Post Exercise (CPX) ini berperanan untuk memastikan SOP (Standard operating procedure) dan arahan berkaitan bencana banjir dapat dilaksanakan secara konsisten agar perkara berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam boleh dikendali dengan baik," katanya.
Beliau berkata program berkenaan akan diperluaskan ke negeri lain yang berisiko dilanda banjir.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan tiga bot penyelamat kepada JPAM Kelantan.
Sementara itu, mengenai pembinaan Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir 2014 di Kelantan, beliau berkata pihaknya mencadangkan kepada kerajaan supaya membeli pangsapuri yang siap dibina untuk menempatkan mangsa banjir yang belum mendiami RKB.
"Proses untuk membina RKB memang agak sukar seperti di Kelantan kerana kawasan yang terjejas teruk adalah Gua Musang dan Kuala Krai yang bentuk muka buminya banyak kawasan berbukit dan ini menyebabkan kesukaran dalam menyediakan infrastruktur," katanya.
Sumber: Bernama | 1 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan