KOTA BHARU: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak pernah memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana individu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, malah proses pemilihan bakal haji dipantau secara terus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses tersebut dilakukan secara telus dan tidak ada mana-mana individu dapat melangkau giliran seperti mana yang diviralkan di laman sosial sejak kebelakangan ini.
“Tidak ada istilah kuota menteri, kuota timbalan menteri, kuota siapa-siapa kerana Tabung Haji sentiasa memastikan segala proses ini dijalankan secara telus dan dipantau secara terus oleh SPRM.
“Pemilihan ini dilakukan dengan amat ketat kerana terlalu ramai yang menunggu, malah jika mendaftar hari ini anda perlu menunggu 89 tahun lagi untuk menunaikan haji. Jadi tidak timbul isu pilih kasih sepertimana yang diviralkan di laman sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Kelantan KT15D di Kompleks Islam Jubli Perak, di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan yang turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.
Pada tahun ini seramai 1,600 jemaah haji dari negeri ini terpilih untuk menunaikan ibadah tersebut.
Asyraf Wajdi turut menegaskan proses rayuan juga dilakukan dengan amat teliti kerana jumlah kekosongan pada tahun ini amat sedikit iaitu sebanyak 3,695 orang berbanding 76,000 individu yang membuat permohonan.
“Kekosongan ini berikutan ada pendaftar yang meninggal dunia atau menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini atas pelbagai faktor.
“Keutamaan rayuan diberikan kepada mahram untuk mereka yang berumur dan tidak pernah berlaku individu yang telah diberi giliran bagi tahun tertentu, tiba-tiba dikeluarkan daripada giliran,” katanya.
Mengenai caj visa umrah dan haji bagi individu yang mahu menunaikan ibadah tersebut buat kali kedua, beliau berkata, pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai perkara tersebut daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Kita hanya mengetahuinya melalui media massa negara tersebut, jadi kita masih menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa di sana untuk pengesahan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 12 Ogos 2016 | Terbitan 13 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan