Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 9 Ogos 2016

Kesedar akan bina 700 buah rumah mampu milik untuk generasi kedua peneroka

GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) merancang membina 700 buah rumah untuk generasi kedua peneroka agensi kerajaan itu secara berperingkat bermula tahun ini.

Pengurus Besar Kesedar Datuk Fazam Mat Lazim berkata peringkat permulaan pembinaan rumah itu pada tahun ini, membabitkan 200 buah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini.

"Pembinaan rumah berkenaan akan diteruskan setiap tahun sehingga menjelang tahun 2020 untuk menyiapkan sepenuhnya 700 buah rumah untuk faedah 700 generasi kedua peneroka Kesedar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tautan Kasih Bersama Penduduk RKT Kesedar Chalil di sini, Isnin.

Fazam berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memberi tanggungjawab kepada Kesedar untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal yang dihadapi generasi kedua peneroka itu.

"Ia bagi mengelakkan generasi kedua peneroka yang sudah berumah tangga itu tinggal bersesak bersama ibu bapa dalam sebuah rumah," katanya.

Beliau berkata melalui projek itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan masalah generasi kedua yang belum memiliki rumah dan boleh dibeli dengan harga paling rendah RM20,000 sebuah selepas diberi subsidi oleh kerajaan.

"Kerajaan akan membina banyak jenis rumah untuk dimiliki mereka termasuk ada juga yang berharga antara RM30,000 dan RM45,000 bergantung kepada kemampuan masing-masing," katanya.

Pada majlis tersebut, Fazam menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 setiap seorang kepada tujuh bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Mereka terdiri daripada kalangan peneroka, penggerak masyarakat, imam masjid dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan Parlimen Gua Musang.

Sumber: Bernama |8 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan