KOTA BHARU: Jumlah rampasan dadah khususnya pil kuda (methamphetamine) di Kelantan meningkat kira-kira 40 peratus sejak Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail.
Beliau berkata sejak Januari hingga Julai tahun ini, polis Kelantan berjaya merampas dadah berjumlah RM13.2 juta berbanding RM10 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
"Selain pil kuda, dadah lain seperti syabu, heroin serta daun ketum juga menunjukkan peningkatan peratusan (jumlah rampasan)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata Polis Kelantan kini menjalankan misi 'Jihad Dadah' dengan agenda utama mengelak golongan remaja daripada terjebak dengan dadah.
"Dadah adalah punca utama kepada perlakuan jenayah dan itu adalah fokus utama kita sekarang," katanya.
Beliau juga berkata dalam Operasi Bersepadu oleh polis Kelantan sejak Selasa lepas, seramai 113 orang penagih ditahan di sekitar Kota Bharu dan Bachok.
Katanya operasi di dua daerah itu dijalankan selepas melihat kriteria tertentu termasuk arah aliran (trend) penagihan dan pengedaran dadah serta kes jenayah yang dicatatkan.
"Dalam operasi dua hari itu, kita berjaya merampas sejumlah dadah jenis pil kuda, syabu, ganja dan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM33,222," katanya.
Sumber: Bernama | 11 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan