Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 30 Ogos 2016

Kelantan anjur pertandingan bina badan tutup aurat

Peserta 'Pertandingan Badan Cantik Mr Awang Selamat Kelantan 2016' wajib berseluar panjang melebihi paras lutut dan bahagian pusat perlu ditutup dengan kain ala pakaian pendekar Awang Selamat.
 
Foto kredit: FB Dato’ Abdul Fattah Mahmood – Official
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan menerusi Urusetia Belia dan Sukan Negeri (U-BeS) julung kali menganjurkan pertandingan bina badan tutup aurat yang disertai 80 atlet, pada Sabtu lalu.

Berbanding peserta yang biasanya beraksi dengan seluar pendek segi tiga di pentas, peserta ‘Pertandingan Badan Cantik Mr Awang Selamat Kelantan 2016’ wajib berseluar panjang melebihi paras lutut dan bahagian pusat ditutup dengan kain.

Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam cara berpakaian, termasuk menutup aurat di mana golongan lelaki perlu menutup aurat daripada pusat ke lutut, manakala wanita pula hanya dibenarkan mendedahkan muka dan dua tapak tangan.

Ini juga adalah pertandingan bina badan pertama yang diadakan di Kelantan dalam tempoh lima tahun ini, susulan pengharaman anjuran pertandingan itu oleh kerajaan negeri sejak sekian lama.

Kali terakhir pertandingan bina badan diadakan di negeri itu ialah 2011, namun ia terpaksa dihentikan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang dipetik Sin Chew Daily berkata, ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan menghentikan pertandingan bina badan lima tahun lalu.

Adun Bukit Panau itu berkata, kerajaan negeri dan kumpulan atlet bina badan terus mengadakan rundingan berhubung isu tutup aurat itu dan akhirnya mencapai situasi menang-menang.

“Akhirnya, kami menganjurkan perhimpunan bina badan secara kecil-kecilan tahun ini. Kali ini barulah dianjurkan pertandingan secara rasmi.

“Ini adalah titik perubahan sangat baik, saya percaya masa depan akan menjadi lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan berkenaan di sebuah hotel, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan itu turut memuat naik gambar pertandingan itu di Facebooknya dan memaklumkan pemarkahan hanya mengambil kira bahagian atas badan peserta dan tidak membabitkan kecantikan di paha, betis dan kaki.

Pertandingan itu dimenangi Zulkifli Ghani dari Pasir Mas yang juga ahli Merak Newfort Tuff.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud melalui Facebooknya berkata, Mr Awang Selamat adalah jolokan baharu dalam sukan bina badan patuh syariah di Kelantan dan pertandingan itu adalah satu daripada produk pelancongan sempena Tahun Melawat Kelantan 2016.

“Cara berpakaian mestilah menutup aurat dengan seluar di bawah lutut dan pusat yang ditutup dengan kain ala pakaian pendekar Awang Selamat yang perkasa suatu ketika dahulu.

“Pertandingan buat pertama kali ini diberi pujian oleh ketua juri yang didatangkan khas daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia, Leftenan Komander (Bersara) Kamaruzaman Kadir,” tulisnya dalam laman media sosial itu, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Kamaruzaman berharap pertandingan itu akan diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
 
Sumber: Free Malaysia Today | www.freemalaysiatoday.com | 29 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan