PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menasihatkan pelanggan Rayani Air yang telah membuat pembelian tiket menggunakan kad kredit atau debit, tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan mereka berikutan pembatalan operasi Rayani Air, supaya membuat permohonan bayaran balik dengan pihak bank.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, permohonan perlu dibuat pelanggan dengan pihak bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut bagi mendapatkan balik wang mereka.
"Pertanyaan mengenai bayaran balik harus dibuat terus kepada bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit di dalam kategori “perkhidmatan yang tidak diterima” atau kategori yang sama.
"Setiap bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit mungkin mempunyai terma dan syarat yang berlainan berkenaan perkhidmatan bayaran balik, jadi adalah wajar bagi pengguna-pengguna perkhidmatan Rayani Air untuk menghubungi pihak bank dengan segera," menurut kenyataan itu.
Tambah Mavcom, pengguna juga mungkin perlu mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kepada bank tersebut bagi proses bayaran balik.
Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air dibatalkan pada 13 Jun lalu.
Sumber: mStar Online | 26 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan