Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 30 Ogos 2016

MDM perkenal sistem tukar barangan yang boleh dikitar semula dengan telur mulai Oktober ini

Mohd Zainudin (kiri) melancarkan Skuad Cakna Kebersihan dan gotong-royong perdana.
MACHANG: Majlis Daerah Machang (MDM) membelanjakan lebih RM300,000 setahun bagi tujuan pengurusan sampah dengan berat purata 100 tan metrik sehari.

Yang Dipertua MDM, Mohd Zainudin Mohamed berkata, pihaknya memandang serius soal kebersihan di jajahan ini dengan melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk menubuhkan Skuad Cakna Kebersihan dan memperkenalkan sistem barter.

Katanya, kos dan jumlah sampah boleh dikurangkan jika semua pihak main peranan bagi sama-sama menjaga kebersihan dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.

“MDM telah melantik Skuad Cakna Bersih yang terdiri daripada 100 belia sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan apa saja maklumat berkaitan kebersihan kepada pihak PBT.

“Dalam masa sama, kita juga memperkenalkan sistem tukar dalam usaha menggalakkan orang ramai melaksanakan kitar semula barangan terpakai.

"Barangan yang dikitar semula akan ditukar dengan telur bermula Oktober ini,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Skuad Cakna Bersih dan merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di sini, kelmarin.

Gotong-royong tersebut membabitkan kerjasama 30 agensi kerajaan dan swasta dengan lebih 100 peserta bersama-sama membersihkan Pasar Machang dan kawasan sekitar. Hadir sama, Pengerusi Kebersihan, Shaikhuddin Safie.

Mohd Zainudin berkata, selain kempen menjaga kebersihan, pihaknya turut mengeluarkan 40 kompaun atas pelbagai kesalahan berkaitan sampah dalam usaha menguatkuasakan penjagaan kebersihan.

Katanya, kompaun tersebut membabitkan pelbagai kesalahan yang mana melibatkan pelbagai pihak terutama peniaga yang membuang sampah pukal secara haram.

Tambahnya, penguatkuasaan serius akan dilaksanakan tahun depan dan pihaknya tidak teragak-agak mendakwa pesalah di mahkamah.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan