Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Datuk Dr Ibrahim Che Omar bergambar bersama peserta Pameran Penyelidikan dan Inovasi 2016 di Dewan Keusahawan UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa. |
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyarankan pelajarnya membuka perniagaan sendiri dan mengembangkan ke peringkat lebih tinggi sebaik tamat pengajian.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Datuk Dr Ibrahim Che Omar, berkata peluang perniagaan perlu dimanfaatkan pelajar kerana dalam dunia tanpa sempadan ini, mereka mampu menjana pendapatan hanya melalui internet.
Katanya, UMK adalah penggerak kepada pelajar untuk mereka memahami dan mempelajari keusahawanan, selebihnya mereka perlu mengambil pendekatan sendiri dengan memulakan perniagaan mengikut minat masing-masing.
"Selepas tamat pengajian, mereka perlu mencari peluang dan manfaatkan apa yang sudah dipelajari semasa berada di universiti.
"UMK juga menyediakan kaedah untuk membantu dengan mengadakan program keusahawanan untuk mendedahkan pelajar dalam dunia sebenar usahawan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Pameran Penyelidikan dan Inovasi 2016 di Dewan Keusahawan UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Zailuddin Ariffin. Mengulas mengenai pameran berkenaan, Ibrahim berkata, ia dianjurkan bertujuan menggalakkan sifat ingin tahu dalam kalangan komuniti dan mengetengahkan hasil inovasi penyelidikan di UMK.
Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 21 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan