KOTA BHARU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyarankan kerajaan supaya mengkaji sejauh mana keberkesanan program yang dilaksanakan bagi memerangi dadah.
Naib Pengerusi Kanan I MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata berdasarkan keadaan ancaman dadah sekarang ini, dilihat negara belum dapat memenangi 'peperangan' melawan dadah.
Sejak tahun 80-an, Malaysia sudah terlibat dalam usaha memerangi dadah apabila kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kem Remaja Sihat dan Sejahtera di Institut Perguruan Kota Bharu di sini, hari ini.
Lee berkata undang-undang berkaitan dadah juga perlu dikaji semula agar pelaksanaannya lebih efektif.
"MCPF memang banyak terbabit dalam membantu kerajaan termasuk mendidik dalam aspek pencegahan tetapi melihat tahap penglibatan masyarakat pada umumnya belum mencapai tahap memuaskan.
"Kita dapati semua gejala sosial yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada dadah dan ia perlu dibanteras habis-habisan," katanya.
Beliau berkata pendekatan yang lebih 'segar' diperlukan dalam aspek pencegahan, pemulihan, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa sekiranya mahu menghapuskan dadah.
Beliau turut meminta ibu bapa bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya mengetahui anak mereka terlibat dengan dadah supaya dapat dipulihkan.
Pada program itu, seramai 50 pelajar dari lima sekolah sekitar daerah Kota Baharu dikategorikan sebagai "atas pagar" bagi masalah disiplin menyertai kem berkenaan dengan harapan mereka dapat mengubah hala tuju hidup supaya menjadi insan yang berkualiti pada masa depan.
Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan