Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 18 Ogos 2016

Wanita buat laporan polis dakwa abang dipukul di penjara

KOTA BHARU: Seorang wanita bertindak membuat laporan polis dengan mendakwa abangnya cedera dipercayai akibat dipukul ketika ditahan di penjara.

Nursyazmira Mohamed, 23, berkata beliau dimaklumkan polis pada Isnin malam bahawa abangnya dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kerana mengalami sakit dalam perut.

"Saya bergegas ke hospital dan diberitahu dia dimasukkan ke bilik bedah bagi menjalani pembedahan kerana ususnya pecah...dia masih belum sedar sejak keluar dari bilik bedah pada 6.40 pagi Selasa," katanya ketika ditemui pemberita di hospital itu di sini hari ini.

Nursyazmira, dari Kampung Bechah Hangus, Ketereh, berkata abangnya yang berusia 29 tahun ditahan Julai lalu kerana kesalahan dadah dan sebelum ini, pernah mengadu sakit akibat dipukul, namun tidak mendedahkan siapa memukulnya.

Nursyazmira membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada 3 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Beliau berkata polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa sebaik sedar bagi melengkapkan siasatan.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Kamarul Alam Taib ketika ditemui berkata mangsa adalah banduan reman dan dihantar mendapatkan rawatan, petang Isnin lalu.

Beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan polis mengenai perkara itu.

"Setakat ini saya dimaklumkan tahanan itu dihantar ke hospital atas sebab kesihatan.

"Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada pasukan perubatan penjara mengenai kecederaan yang didakwa. Jabatan akan menyiasat sebarang aduan yang diterima," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan