Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 13 Ogos 2016

Rayani Air tidak usah buat gimik

SYARIKAT penerbangan bermasalah, Rayani Air Sdn. Bhd. (Rayani Air) tidak usahlah membuat gimik bahawa mereka akan beroperasi semula tidak lama lagi sedangkan mereka masih belum mengemukakan permohonan lesen baharu kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). 

Walaupun mereka dilaporkan telah 'berjaya' mendapatkan pelabur-pelabur berpotensi dari Asia Timur dan Asia Selatan tetapi itu bukanlah jaminan MAVCOM akan melulusan lesen kepada syarikat penerbangan ini semudah meluluskan permohonan memperbaharui lesen memandu. 

Banyak perkara yang akan diteliti oleh pihak berkuasa terutamanya MAVCOM dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk meluluskan lesen-lesen yang diperlukan untuk perkhidmatan penerbangan komersial. 

Dalam pada itu, Rayani Air tidak perlulah mencari publisiti murahan dengan meminta diberikan peluang kedua sedangkan MAVCOM dari awal lagi menegaskan bahawa keputusan mereka membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. 

Pembatalan lesen ASL tersebut telah mengambil kira ketidakupayaan Rayani Air dari segi kewangan, pengurusan, dan modal untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial. Keputusan tersebut juga telah mengambil kira kepentingan orang awam untuk mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa. 

Status di laman Facebook rasmi Rayani Air yang sudah beberapa kali diterbitkan secara salin dan tampal (copy & paste) yang menimbulkan kemarahan orang ramai seolah-olah tiada perkara lain yang boleh dikemas kini oleh Rayani Air. 
Di samping itu juga, Rayani Air tidak perlulah menyalahkan pihak berkuasa terutamannya MAVCOM dan DCA atas kegagalan mereka membuat bayaran balik (refund) bagi pengguna yang terjejas. Hal ini kerana masalah tersebut bukan berpunca daripada tindakan pihak berkuasa tetapi sebenarnya berpunca daripada kelemahan Rayani Air sendiri dari segi pengurusan, bilangan tenaga kerja yang terlalu ramai, penjadualan penerbangan, pengurusan kos, dan aliran tunai. 


Riwayat Rayani Air (20 Disember 2015 - 7 April 2016)

Rayani Air sememangnya terkenal dengan gimik pemasaran murahan dan bodoh termasuk mempromosikan laluan-laluan  yang bakal mereka perkenalkan sedangkan mereka masih belum memperoleh lesen untuk beroperasi. Mereka terkenal dengan promosi "Coming Soon" sejak pertengahan 2014 sehinggalah mereka mendapat lesen untuk beroperasi pada awal Disember tahun lepas. Adakah Rayani Air faham maksud coming soon tersebut? Ashik promosi "Coming Soon" lebih setahun sebelum dapat lesen? 

Selepas mempromosikan "Coming Soon" bagai nak 'rak', akhirnya Rayani Air dapat lesen pada minggu kedua Disember 2015. Rayani Air telah memulakan operasi komersial pada 20 Disember 2015, manakala operasi penerbangan komersial terakhir pada 7 April 2016. MAVCOM dan DCA masing-masing telah membatalkan ASL dan Sijil Operasi Udara (AOC) pada 13 Jun 2016. 


MAVCOM dan DCA Perlu Pastikan Rayani Air Selesaikan Segala Liabiliti Sebelum Lesen Baharu Diluluskan 

Untuk menjaga kepentingan pengguna, MAVCOM dan DCA perlu memastikan Rayani Air menyelesaikan segala tuntutan bayaran balik bagi pengguna yang terjejas sebelum meluluskan lesen baharu jika Rayani Air benar-benar layak dan berkeupayaan untuk meneruskan operasi komersial. 

Begitu juga bayaran gaji tertunggak bagi semua kakitangan Rayani Air yang terjejas sama ada kakitangan tersebut telah menamatkan perkhidmatan dengan Rayani Air atau masih berkhidmat dengan syarikat penerbangan ini. 


Pengguna Perlu Berhati-hati 

Kegagalan Rayani Air membuat bayaran balik bagi pembelian tiket yang telah dibuat merupakan episod malang dalam industri penerbangan Malaysia. Pengguna yang terlibat membabitkan tuntutan bayaran balik daripada ratusan ringgit sehinggalah ribuan ringgit bagi setiap seorang pembeli tiket Rayani Air. 

Jika Rayani Air dibenarkan beroperasi semula selepas ini, pengguna amat tidak disyorkan untuk membeli tiket penerbangan Rayani Air. Hal ini kerana masalah Rayani Air seperti yang dialami sekarang ini mungkin boleh berulang. Sesungguhnya sejarah boleh berulang! 

Sebaliknya, pengguna boleh membeli tiket penerbangan dengan syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang lain seperti Malaysia Airlines (syarikat penerbangan nasional), AirAsia (syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia), Firefly, dan Malindo Air yang lebih terjamin perkhidmatannya. 

Tetapi persoalannya, mampukah Rayani Air terbang semula selepas ini? 

Sumber: KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan