KUALA LUMPUR: Mr. Asia 2015 Mohd Syarul Mahen Abdullah (gambar) bersedia untuk mengatasi segala tekanan dalam merealisasikan misinya mempertahankan kejuaraan di Bhutan yang bermula penghujung bulan nanti.
Atlet berusia 43 tahun itu dilihat menjadi taruhan utama negara di Kejohanan Bina Badan Asia untuk memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong selepas ketiadaan juara Mr Asia sebanyak sembilan kali, Sazali Samad.
“Sedikit tertekan, namun saya merasakan sudah mempunyai kekuatan mental yang mencukupi untuk menghadapinya.
“Memang ketiadaan Sazali sejak pertandingan tahun lalu dirasai. Malah saya melihat sekiranya mampu membawa pulang gelaran juara tanpa kehadirannya mampu membantu sukan ini.
“Kita tidak mahu orang ramai melihat sukan bina badan ini mati apabila Sazali sudah tiada,” kata Syarul Mahen yang muncul Mr Asia menerusi kategori athletic physique di Uzbekistan tahun lalu.
Bagaimanapun dia tidak melihat sandaran untuk meraih kejuaraan di Asia terletak kepada dirinya saja dengan enam lagi atlet yang terpilih turut berpeluang terutamanya dengan kehadiran atlet berpengalaman seperti Buda Anchah.
“Saya percaya atlet lain yang ke Bhutan turut bersemangat membawa kejayaan untuk negara,” tambahnya.
Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) mengakui mereka kini mengharungi tempoh yang sukar susulan penggantungan empat tahun Sazali yang juga Mr Universe sebanyak 10 kali akibat kegagalan ujian doping tahun lalu.
Sumber: Harian Metro | Arena | 11 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan