Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 9 Ogos 2016

Polis Marin rampas kerbau seludup bernilai RM100,000

KOTA BHARU: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor menumpaskan sindiket penyeludupan haiwan selepas merampas 20 ekor kerbau bernilai RM100,000 di Kampung Pisau Raut, Tumpat hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, ASP Ahmad Azmi Abd Rahman berkata ketika serbuan 3 pagi itu, beberapa lelaki sedang menarik kerbau berkenaan sebelum menambatnya di kawasan semak berhampiran jalan kampung itu.

"Semua suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota Unit Risikan Marin (URM) dengan meninggalkan semua kerbau berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui 20 ekor kerbau yang masih dalam keadaan basah dan berlumpur dipercayai diseludup masuk dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata semua kerbau itu dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia di Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Ahmad berkata sindiket tersebut menjalankan aktiviti menyeludup ketika tengah malam dan awal pagi sebagai modus operandi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Mereka kemudian mengumpulkan semua kerbau di kandang sementara atau kawasan semak sebelum diangkut menggunakan lori kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata daripada siasatan yang dijalankan, pihaknya percaya semua kerbau seludup itu bagi memenuhi permintaan penduduk tempatan untuk aqiqah dan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, bulan depan.

"Kita akan perketatkan kawalan di sempadan kerana kita jangkakan aktiviti penyeludupan haiwan ternakan ini akan terus berlaku sebelum tiba Hari Raya Aidiladha," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkaitan dalam usaha membantu pihak berkuasa menangani aktiviti penyeludupan di sempadan.

Sumber: Bernama | 8 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan