Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 6 Ogos 2016

Pelbagai acara menarik meriahkan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Penerangan Negeri Kelantan merangka pelbagai program bagi menyuntik semangat patriotik masyarakat negeri ini sekali gus menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Sabri Abdullah berkata program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan itu telah dimulakan sejak 21 Julai lepas melalui Konvoi Jalur Gemilang Merdeka@Komuniti.

"Konvoi berkenaan sedang bergerak menjelajah ke setiap Komuniti 1Malaysia (K1M) di semua daerah di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan menganjurkan Karnival K1M yang akan menghimpunkan seluruh warga K1M Kelantan di Pantai Irama, Bachok pada 25 hingga 27 Ogos ini.

Antara acara yang akan diadakan ialah pameran jualan produk K1M, pertandingan akhir pengisahan kenegaraan peringkat negeri Kelantan, sukan rakyat, persembahan hiburan, pertandingan memancing, demonstrasi masakan dan kraf, pertandingan mewarna, dan khidmat komuniti badan bukan kerajaan bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata Kembara Jalur Gemilang Merdeka@Komuniti akan diadakan di setiap daerah dengan pelbagai pengisian termasuk ziarah kasih dan sambutan ambang merdeka peringkat komuniti.

Mohd Sabri berkata bagi menghargai mereka yang bersemangat mengibar Jalur Gemilang, pihaknya menganjurkan pertandingan keceriaan kemerdekaan melibatkan lapan kategori.

Kategori pertandingan itu ialah bangunan kerajaan, swasta, sekolah, kediaman individu, anjung komuniti, pintu gerbang, kampung tradisional dan taman perumahan.

"Penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia. Hadiah lumayan menanti para pemenang yang berjaya menghiasi Jalur Gemilang secara kreatif dan menarik," katanya.

Beliau berharap semua program yang dirancang dan yang sedang berjalan akan menggelorakan semangat patriotik masyarakat khususnya peringkat akar umbi agar sama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

Sumber: Bernama | 6 Ogos 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan