JELI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bercadang mewujudkan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di tiga zon di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat berkenaan diwujudkan di Kelantan bagi Zon Timur, Johor (Zon Selatan) dan Perak (Zon Utara).
"Ketiga-tiga negeri ini, pihak kami mengenal pasti antara negeri yang mempunyai jumlah masyarakat Orang Asli yang ramai di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kebudayaan Orang Asli dan Muzium Orang Asli di Dataran Muzium Orang Asli Jeli, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Setakat ini, PIPOA hanya terdapat di Rompin, Pahang yang menempatkan pelajar cemerlang msyarakat berkenaan dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Ismail Sabri berkata PIPOA adalah antara transfomasi pembangunan pendidikan negara bagi memajukan pendidikan masyarakat Orang Asli di negara ini.
"Kami yakin dengan adanya pusat berkenaan, pendidikan Orang Asli dapat di majukan lagi dan sekali gus dapat mengurangkan kadar keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak masyarakat berkenaan," katanya.
Beliau juga berkata sejak program penghantaran pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara diperkenalkan pada 2010, kini sudah 72 orang dihantar ke luar negara bagi tujuan itu.
"Pada tahun ini, kita sudah menghantar 18 orang pelajar ke luar negara bagi menyambung pendidikan mereka dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah dan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata kementeriannya juga memberi tumpuan membangunkan sektor ekonomi dan pemilikan tanah untuk manfaat masyarakat berkenaan.
Sumber: Bernama | 29 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan