JELI: Seekor gajah jantan liar yang ditangkap di Kampung Lawar, Batu Melintang di sini, Jumaat lepas, dipindahkan ke Taman Negara Kelantan, Gua Musang hari ini.
Gajah seberat 2.4 tan itu yang ditangkap kerana merosakkan tanaman penduduk Kampung Lawar, dipindahkan oleh 16 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Pengarah PKGK, Nasharudin Othman berkata operasi itu mengambil masa 4 jam bermula pukul 9 pagi, menggunakan dua ekor gajah betina iaitu Rambai dan Kala sebagai denak bagi memudahkan gajah jantan itu menaiki lori untuk dipindahkan ke taman negara berkenaan.
"Jumaat lepas, Perhilitan Kelantan menangkap gajah jantan tersebut selepas mendapat aduan penduduk Kampung Lawar berhubung haiwan itu memusnahkan tanaman seperti getah dan sawit," katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah itu selesai di sini.
Operasi pemindahan haiwan itu turut menarik perhatian kira-kira 100 orang penduduk kampung berkenaan.
Selain pemindahan gajah pada hari ini, PKGK sejak awal tahun ini, telah memindahkan tiga ekor gajah jantan yang ditangkap Perhilitan Kelantan di Bukit Bakar, Machang.
Gajah yang dipindahkan ialah seekor gajah betina yang ditangkap di Ladang Felda Aring, Gua Musang, dan dua ekor gajah jantan di Kampung Salor dan Kampung Dendong, Batu Melintang.
Kesemua gajah berkenaan dipindahkan ke Taman Negara Kenyir, Terengganu.
Sumber: Bernama | 3 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan